NICKY (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci sebagai simbolik penyerahan van ambulans kepada Kuan Chee Heng (empat dari kiri). FOTO Eizairi Shamsudin
NICKY (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci sebagai simbolik penyerahan van ambulans kepada Kuan Chee Heng (empat dari kiri). FOTO Eizairi Shamsudin
Rosyahaida Abdullah


BIARPUN baru berusia 32 tahun namun sudah jutaan ringgit dilaburkannya untuk aktiviti kebajikan.

Terbaru, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang juga Pengasas Yayasan Winner Emperor Sedunia menyumbang satu lagi ambulans kepada Community Policing Malaysia.

Penasihat Eksekutif Yayasan, Datuk John Lee Kim Tian berkata, sifat murah hati Nicky Liow layak menjadikannya individu digelar 'dermawan muda'.

"Dengan usaha dilakukannya, diharap lebih ramai pemuda dan usahawan tampil membabitkan diri dalam aktiviti kebajikan dan bantuan kemanusiaan," katanya.

Menurutnya, sejak mengasaskan yayasan berkenaan, pihaknya sudah menyumbang lebih RM1 juta bantuan kebajikan tidak termasuk RM500,000 kepada pusat kebajikan kanak-kanak di Melaka.

Dalam perkembangan sama, Jurucakap Yayasan Winner Emperor Sedunia, Excella Chong berkata, ambulans itu adalah yang keempat disumbangkan pihaknya kepada Community Policing Malaysia sejak ambulans pertama diserahkan kira-kira empat tahun lalu.

Menurutnya, ia dilaksanakan atas inisiatif pengasasnya sendiri iaitu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang cuba memberikan sokongan terhadap apa saja kerja sosial oleh mana-mana pihak.

"Kami difahamkan Community Policing Malaysia khususnya Kuan Chee Heng (Pengerusi) sendiri sedang berusaha mencari dana untuk mendapatkan lagi ambulans bagi meneruskan bantuan buat komuniti yang memerlukan jadi kami fikir untuk mengambil peluang membantu.

"Ambulans baru bernilai RM142,000 ini akan diuruskan Community Policing Malaysia sejurus penyerahan termasuk dari segi penyelenggaraan.

"Diharap sumbangan kecil kami ini dapat menyuntik keinginan usahawan atau pemilik perniagaan lain untuk turut sama menyumbang dalam usaha membantu komuniti yang memerlukan," katanya selepas majlis penyerahan ambulans berkenaan, hari ini.

Sumbangan diserahkan Nicky Liow diiringi Penasihat Eksekutif Yayasan, Datuk John Lee Kim Tian kepada Kuan yang juga dikenali sebagai Uncle Kentang di kompleks beli-belah IOI Mall, di Puchong.

DATUK Seri Nicky Liow Soon Hee. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Nicky Liow Soon Hee. FOTO Eizairi Shamsudin

Sementara itu, Kuan berkata, sumbangan itu cukup bermakna buat pihaknya dalam menyediakan lebih banyak ambulans percuma kepada komuniti memerlukan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak yayasan.

Katanya, pihaknya ketika ini mempunyai tujuh ambulans dan menyasar memperoleh tiga unit lagi dalam masa terdekat untuk tujuan sama.

"Setakat ini, saya menyasar kawasan selatan Semenanjung terlebih dulu seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka selain Pahang untuk disediakan ambulans ini buat komuniti.

"Ia akan membawa pesakit kurang berkemampuan yang perlu ke ibu negara atas urusan perubatan seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN) dan Institut Kanser Negara (IKN) atau perjalanan sebaliknya.

"Kita tidak meletakkan bayaran spesifik, RM1 pun kita terima asalkan tiada rakyat yang berdepan kesulitan untuk mendapatkan rawatan hanya kerana kekangan kewangan untuk pengangkutan ambulans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 9:04 PM