Adnan Abd Rahman (tengah) meninjau gerai peniaga ayam di Pasar Besar Siti Khadijah. FOTO IHSAN KPDNHEP
Adnan Abd Rahman (tengah) meninjau gerai peniaga ayam di Pasar Besar Siti Khadijah. FOTO IHSAN KPDNHEP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sebanyak 48 notis dikeluarkan kepada pemborong dan peruncit ayam di Kelantan atas pelbagai kesalahan termasuk menaikkan harga keterlaluan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, notis itu dikeluarkan menerusi Ops Pasar dan Ops Catut 8.0 yang bermula Khamis lalu, mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"KPDNHEP mengambil serius mengenai isu kenaikan harga ayam khususnya ketika Ramadan ini dan pegawai penguat kuasa melakukan pemantauan ke atas bekalan dan harga ayam selain barang keperluan lain di pasaran supaya pengguna dapat memperolehnya pada harga yang berpatutan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, selain peniaga ayam, 19 notis turut dikeluarkan kepada peniaga daging dan 34 lagi kepada peniaga sayur-sayuran.

"Keseluruhannya (dalam tempoh operasi) sebanyak 225 notis dikeluarkan di bawah AKHAP terhadap bahan binaan, air kosong, pembekalan ayam, dan pembekalan daging oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kelantan," katanya.

Menurutnya, operasi dan pemantauan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi menangani kenaikan harga barang.

Katanya lagi, setakat ini KPDNHEP Kelantan tidak menerima aduan rasmi kenaikan harga barang, namun tiga aduan sebelum ini adalah berkaitan peniaga tidak meletakkan tanda harga dan ia sudah diambil tindakan.

Pengguna diminta menyalurkan aduan rasmi ke Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Kelantan di talian 09-7416000 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 4:51 PM