DATUK Seri Mustapa Mohamed (tengah) bersama Adnan Abd Rahman (kiri) beramah mesra dengan peniaga ayam. FOTO Syaherah Mustafa
DATUK Seri Mustapa Mohamed (tengah) bersama Adnan Abd Rahman (kiri) beramah mesra dengan peniaga ayam. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Jeli: Harga ikan di pasaran dijangka dapat dikawal pada musim tengkujuh susulan jaminan bekalan sumber protein itu melalui ikan segar sejuk beku yang ditawarkan kepada pelanggan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan Adnan Abd Rahman berkata, pihaknya dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil inisiatif membekal ikan segar sejuk beku supaya dapat menampung permintaan pelanggan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, kekangan pembekal atau nelayan untuk turun ke laut pada musim tengkujuh menyebabkan bekalan ikan berkurangan sekali gus memberi impak kepada kenaikan harganya di pasaran.

"Namun, jika bekalan mencukupi tiada kenaikan harga akan berlaku. Ikan sejuk beku yang ditawarkan adalah yang berkualiti justeru pelanggan tidak perlu khuatir untuk membelinya sebagai pilihan utama mereka.

"Selain mengambil perhatian tentang bekalan ikan, pihak KPDNHEP Kelantan turut melantik 41 pemborong utama dan 53 peruncit terpilih di setiap daerah negeri ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang banjir.

"Pemborong dan peruncit barangan keperluan asas yang dilantik ini adalah pemegang mini stok dan hendaklah sentiasa memastikan bekalan sentiasa mencukupi," katanya selepas melawat Program Jualan Keluarga Malaysia di Tapak Pasar Tani, Ayer Lanas, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Adnan berkata, KPDNHEP Kelantan turut bersedia memberi kerjasama kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyediakan barangan keperluan asas kepada mereka yang terkesan dengan banjir.

"Dalam perkembangan lain, kami sudah mengeluarkan tiga kompaun terhadap peniaga yang melanggar peraturan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dikuatkuasakan di seluruh negara, sejak 7 Disember lalu.

"Kesalahan yang dilakukan membabitkan peniaga yang tidak meletakkan tanda harga dan tidak menggunakan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan kawalan sebagai mana arahan pihak berkuasa," katanya.

Katanya, beliau turut menyarankan orang ramai menggunakan aplikasi Price Catcher yang disediakan oleh KPDNHEP untuk membuat perbandingan harga barangan pada pasaran semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 5:36 PM