Pegawai dan angota KPDNHEP negeri Kelantan membuat pemantauan di premis menjual barangan kawalan dan keperluan asas di seluruh Kelantan. FOTO IHSAN KPDNHEP
Pegawai dan angota KPDNHEP negeri Kelantan membuat pemantauan di premis menjual barangan kawalan dan keperluan asas di seluruh Kelantan. FOTO IHSAN KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan 156 notis kepada peniaga di negeri ini sejak Januari lalu hingga sekarang.

Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu dikeluarkan berikutan kenaikan harga membabitkan ayam, telur, sayur dan beberapa barangan lain.

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, notis itu diserahkan kepada pemborong, penternak atau peladang, peruncit dan pengilang.

"Tindakan ke atas 383 kes sudah diambil untuk kesalahan tanda harga manakala tiga kes membabitkan pencatutan.

"Sejumlah 117 notis surat pemberitahuan juga dikeluarkan kepada peniaga berikutan kenaikan harga dan mereka akur dengan arahan KPDNHEP sebelum bersetuju untuk menurunkan harga.

"Sehingga kini, sebanyak 64,547 premis diperiksa membabitkan 45,276 pemeriksaan di kawasan bandar, manakala 19,271 pemeriksaan di luar bandar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, sehingga kini pihaknya menerima sebanyak 630 aduan dan 105 daripadanya membabitkan isu harga yang sudah disiasat.

Menurutnya, semakan harga membabitkan 12 barangan iaitu ayam, telur, kubis, brokoli, sawi, kacang bendi, cili merah, cili hijau dan sawi pendek sudah direkodkan dalam aplikasi 'Price Catcher'.

"Pengguna disarankan merujuk kepada aplikasi 'Price Catcher' bagi membantu mereka merancang perbelanjaan secara bijak dan berhemah semasa musim tengkujuh.

"Sehingga semalam, pemantauan yang dilaksanakan mengesan harga ayam terendah adalah RM 7.99 satu kilogram, dan paling tinggi RM9.50 sekilogram," katanya.

Katanya, pihaknya mengambil tindakan bagi memastikan bekalan barangan kawalan dan keperluan asas berada dalam pasaran serta pada harga berpatutan.

"Peniaga juga diingatkan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing atas pelbagai alasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 5:59 PM