WAN Mohammad Zaidi (tengah) melihat bot penyelamat milik JBPM yang akan digunakan sekiranya banjir berlaku. FOTO Mohd Rafi Mamat
WAN Mohammad Zaidi (tengah) melihat bot penyelamat milik JBPM yang akan digunakan sekiranya banjir berlaku. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Operasi sanitasi awam dan nyah kuman di 647 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang yang bermula minggu lalu, dijangka selesai sepenuhnya minggu depan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, setakat ini 60 peratus PPS untuk mangsa banjir selesai menjalani proses sanitasi.

Menurutnya, operasi itu sebahagian persiapan JBPM Pahang untuk menghadapi kemungkinan berlaku banjir di negeri ini.

"Operasi sanitasi awam itu kini sedang dijalankan dan dijangka selesai sepenuhnya minggu depan.

"Proses berkenaan akan berterusan, bagaimanapun selepas PPS diaktifkan dan sekiranya mangsa banjir mula dipindahkan, tugas untuk kerja sanitasi dan nyah kuman akan diserahkan kepada petugas di pusat berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Wan Mohammad Zaidi berkata JBPM Pahang kini bersedia dan bersiapsiaga menghadapi kemungkinan banjir termasuk membekukan cuti 953 pegawai dan anggota di seluruh negeri bermula bulan ini sehingga satu tempoh akan ditentukan kelak.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan semua pegawai dan anggota bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya banjir berlaku.

"Bagi menghadapi operasi banjir dalam situasi normal baharu dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengekang penularan wabak Covid-19, semua balai kini menjalani latihan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir mengikut garis panduan ditetapkan.

"Kami mungkin berdepan cabaran dalam operasi menyelamat mangsa banjir kali ini termasuk keperluan kepada pemakaian alat perlindungan diri (PPE) sesuai dengan SOP ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 6:16 PM