FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kerajaan negeri melaksanakan kempen pendidikan mengenai pengurusan banjir mengikut normal baharu terutama di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, sebanyak 539 PPS di Kelantan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, tujuh jajahan terbabit dalam SOP normal baharu itu adalah Kota Bharu, Jeli, Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Pasir Puteh dan Machang membabitkan 150 hingga 200 peserta bagi setiap jajahan

"Mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS akan menjalani ujian saringan dan dipantau di bilik isolasi dalam tempoh 24 hingga 36 jam selepas disahkan negatif.

"Kemudian mereka akan dibawa ke bilik kuarantin di dalam khemah berasingan selama 14 hari, sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, bilik khas saringan awal akan disediakan di PPS terpilih bagi menempatkan mangsa banjir bergejala, zon merah atau mereka yang terdedah kepada pesakit Covid-19, manakala petugas kesihatan pula akan berada di PPS mengikut keperluan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mumtaz berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sukarelawan akan melakukan sanitasi di bilik di PPS secara berkala mengikut keperluan.

"Bagi menjaga kebajikan mangsa banjir, makanan akan dibungkus dan dihantar oleh petugas ke khemah mangsa yang dikuarantin, malah kebersihan tandas turut diutamakan.

"Mangsa banjir yang bebas Covid-19 akan ditempatkan di blok berasingan selain makanan juga akan dibungkus dan ketua keluarga perlu mengambilnya dari dapur.

"Selain itu, mereka juga akan diberi tanda nama dan tidak digalakkan keluar masuk sewenang-wenangnya selepas mendaftar masuk ke PPS bagi mencegah penularan sebarang penyakit, malah pihak kami juga mewajibkan pemakaian pelitup muka serta penggunaan cecair pembasmi kuman," katanya.

Beliau berkata, mangsa banjir juga perlu bersedia dari segi mental dan emosi dalam menghadapi normal baharu terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi.

"Bagi mengelakkan kekalutan, adalah lebih baik menyediakan kit kelengkapan banjir lebih awal seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan vitamin C bagi mengelakkan perkongsian dengan penghuni lain ketika berada di PPS.

"Makanan ringan, ubat dan peralatan keperluan diri serta keluarga juga mesti sentiasa disediakan di dalam beg supaya proses menyelamat dan berpindah akan lebih lancar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 4:55 PM