WAN Rosdy (dua dari kanan) melihat bekalan makanan selepas melancarkan Misi Penghantaran Bekalan Makanan Bencana Ke Pangkalan Hadapan Pahang 2020. FOTO Asrol Awang
WAN Rosdy (dua dari kanan) melihat bekalan makanan selepas melancarkan Misi Penghantaran Bekalan Makanan Bencana Ke Pangkalan Hadapan Pahang 2020. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan Pahang bersedia menghadapi musim tengkujuh dengan norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, walaupun bakal berdepan kesukaran untuk memastikan pematuhan SOP itu, keselamatan semua petugas dan mangsa banjir diberi keutamaan.

Katanya, pematuhan SOP itu juga dibuat mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"SOP itu bermula dari operasi menyelamat, pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan kepulangan mangsa banjir sebaik banjir pulih.

"Kita akan sedaya upaya memastikan SOP itu dipatuhi semua mangsa banjir dan tahun ini kita membuat keputusan penjarakan fizikal antara keluarga.

"Jika sebelum ini jarak antara keluarga rapat, ia tidak akan berlaku di PPS pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Misi Penghantaran Bekalan Makanan Bencana Ke Pangkalan Hadapan Pahang 2020 di depot Pahang Darul Makmur (PDM), di sini, hari ini.

Pelancaran misi itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk bekalan makanan kepada mangsa banjir di seluruh negeri itu.

Katanya, sebanyak 98 tan makanan disediakan dan pengagihan sudah dilakukan di 118 pangkalan hadapan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 45 tan membabitkan bekalan beras, 21 tan sardin, 11 tan biskut, tujuh tan minyak masak, masing-maisng enam tan gula dan kopi serta masing-masing satu tan teh dan garam.

"Tahun ini sebanyak 600 PPS disediakan di 11 daerah untuk menampung 46,000 mangsa banjir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 3:04 PM