Hazira Ahmad Zaidi


Bachok: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dengan kekuatan 1,500 pegawai dan anggota sudah bersiap sedia untuk berdepan bencana banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Md Salleh Sarbini berkata, jumlah itu turut termasuk anggota Pasukan Bomba Sukarela dan bomba bantuan yang ditempatkan di semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri.

Katanya, pada masa sama, cuti semua anggota juga sudah dibekukan dan mereka berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, dari segi kelengkapan logistik, kita mempunyai 40 bot, 10 lori, serta 40 pacuan empat roda yang sudah disediakan untuk digerakkan pada bila-bila masa.

"Malah, kita juga mendapat bantuan dan kerjasama daripada Unit Udara JBPM untuk menempatkan sebuah helikopter di kawasan Pantai Timur.

"Sekiranya berlaku apa-apa kes membabitkan mangsa cedera atau sakit terutamanya kawasan pedalaman seperti di Gua Musang operasi menyelamat dapat dilakukan dengan kadar segera.

"Jika kenderaan atau aset menyelamat yang dimiliki tidak mencukupi, pihaknya akan meminta bantuan daripada negeri lain," katanya.

Terdahulu Md Salleh menyertai telesidang Majlis Pelancaran Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) dan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Putrajaya.

Mengulas lanjut, Md Salleh berkata, dalam keadaan penularan pandemik Covid-19, pihaknya juga akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam proses pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Bagi mematuhi SOP Covid-19 dalam proses pemindahan mangsa banjir, pihak jabatan sudah membekalkan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) kepada semua pegawai dan anggota bagi melindungi petugas daripada dijangkiti wabak berkenaan.

"Apabila mangsa banjir diselamatkan, mereka akan diperiksa suhu badan dan perlu memakai pelitup muka dan jika tidak ada, kami akan memberikannya kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, bot yang digunakan ketika operasi menyelamat mangsa banjir juga dilengkapkan dengan alat untuk sanitasi dan nyah cemar yang digunakan setiap kali melakukan operasi menyelamat.

"Selain itu, pegawai kita juga sudah dilantik oleh KKM sebagai 'task force' untuk mengawasi pesakit Covid-19 atau ada mangsa yang memakai gelang, kita akan melaporkan kepada KKM dan pihak polis untuk diambil tindakan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Md Salleh berkata, pegawai PBB SWART yang dilantik perlu menjalani khusus latihan selama 10 hari di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu.

"Di peringkat permulaan, seramai 24 pegawai PBB SWART dilantik merangkumi 12 anggota masing-masing di Kelantan dan Terengganu.

"Pada masa akan datang kita akan memohon dengan pihak jabatan untuk kita mengembangkan lagi pemilihan pegawai PBB SWART ke Pantai Genting, Pantai Sri Tujuh dan kawasan lain yang berbahaya," katanya.

ANGGOTA JBPM membuat demontrasi mangsa lemas selepas  Pelancaran Pegawai Bomba Bantuan Safety Water and Rescue Team dan kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Dataran Perahu, Pantai Irama, Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA JBPM membuat demontrasi mangsa lemas selepas Pelancaran Pegawai Bomba Bantuan Safety Water and Rescue Team dan kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di Dataran Perahu, Pantai Irama, Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 7:09 PM