ANGGOTA bomba menjalankan operasi nyah kuman di Medan Niaga Satok, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi nyah kuman di Medan Niaga Satok, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melaksanakan sanitasi awam di Medan Niaga Satok, Kuching, hari ini.

Pasar tumpuan ramai itu dinyah kuman berikutan wujudnya Kluster Satok selepas empat individu di pasar berkenaan dijangkiti pandemik Covid-19.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, seramai 22 anggota yang diketuai Pegawai Kanan Bahagian Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba II John Sagun Francis menjalankan operasi itu mulai 9.10 pagi.

"Ini adalah kali kedua Medan Niaga Satok menjalani proses sanitasi selepas kali pertama dilaksanakan Mac lalu.

"Operasi kali ini dilaksanakan berikutan empat individu dikesan positif Covid-19 semalam," katanya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan kluster baharu iaitu Kluster Satok berikutan empat kes dikesan di kawasan tumpuan ramai itu.

Kes itu dikesan menerusi saringan aktif Covid-19 yang dijalankan terhadap 229 individu di pasar berkenaan pada 25 dan 26 Julai lalu.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menyelenggara pasar berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan dilaksanakan selama sehari bagi membolehkan kerja nyah kuman dijalankan.

Sementara itu, JBPM Sarawak turut melaksanakan sanitasi awam di Pangkalan Maritim Muara Tebas, Kuching.

Dua kapal nelayan Vietnam yang ditahan baru-baru ini serta sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjalani proses nyah kuman.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 12:49 PM