FATIMAH ABDULLAH
FATIMAH ABDULLAH
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 50,521 penerima bantuan bulanan di Sarawak menikmati kenaikan kadar bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 hari ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pengumuman Menteri Kewangan, Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, itu amat dinantikan.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kenaikan kadar bantuan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kenaikan kadar bantuan itu sekurang-kurangnya akan meringankan beban yang mereka tanggung," katanya.

Fatimah berkata, Sarawak mempunyai seramai 50,521 penerima bantuan bulanan iaitu 7,532 orang kelainan upaya (OKU) tidak bekerja, 19,639 penerima bantuan orang tua dan seramai 1,787 penerima bantuan pesakit terlantar.

Selain itu, seramai 3,188 lagi menerima elaun pekerja cacat dan 7,927 menerima bantuan kanak-kanak.

Fatimah turut berterima kasih kerana Kerajaan Persekutuan menaikkan elaun penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta kenaikan peruntukan untuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 7:24 PM