Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Saya bukan apa (meminta sedekah), tapi elaun bulanan yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan tidak cukup untuk menampung kos hidup memaksa saya untuk mengemis," kata pengemis warga tempatan Fatimah, 74.

Wanita itu dilihat duduk di atas kerusi roda sambil menggantung beg dan beberapa pengunjung pasar yang melintasinya akan memasukkan wang ke dalam beg itu.

Fatimah yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, desakan hidup menyebabkan dia tiada pilihan dan terpaksa mengemis kerana pada masa sama perlu menyara anak saudaranya yang menghidap masalah mental.

Katanya, sebelum ini dia mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara kehidupan, namun pendapatan yang diperoleh semakin berkurangan menyebabkan dia memilih jalan mudah dengan mengemis untuk mencari wang perbelanjaan tambahan.

"Kebiasaannya saya hanya datang meminta sedekah pada hujung minggu disebabkan orang ramai datang membeli keperluan di pasar dan pada ketika itu ramai yang menghulurkan wang disebabkan bersimpati.

"Saya datang menggunakan khidmat kereta tambang dengan kos RM20 untuk pergi dan balik dari rumah yang terletak di Kampung Gerong, Palekbang, Tumpat ke Kota Bharu bagi mengemis.

"Dalam sehari saya mampu memperoleh sehingga RM200 dalam tempoh empat jam bermula awal pagi dan mungkin disebabkan keadaan diri yang nampak uzur selain mengalami kecacatan kedua-dua belah tangan serta kudung kaki kanan menyebabkan ramai yang bersimpati," katanya ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu Pengemis di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, hari ini.

FATIMAH yang mengalami kecacatan kedua-dua belah tangan serta kudung kaki kanan terpaksa mengemis untuk mencari wang perbelanjaan tambahan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
FATIMAH yang mengalami kecacatan kedua-dua belah tangan serta kudung kaki kanan terpaksa mengemis untuk mencari wang perbelanjaan tambahan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Operasi berkenaan membabitkan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Fatimah mendakwa, wang bantuan bulanan yang diperoleh daripada JKM sebanyak RM450 tidak cukup kerana pada masa sama perlu membayar sewa rumah RM150 sebulan selain bil utiliti dan makan minum.

"Saya tahu perbuatan ini salah di sisi undang-unadang. Saya sudah tidak mempunyai adik beradik selain tidak pernah berkahwin, dan kini menjaga anak saudara yang menghidap masalah mental.

"Bagi kelangsungan hidup, saya terpaksa mengemis kerana hanya itu sahaja mampu dilakukan tambah pula dengan keadaan diri yang tidak sempurna seperti insan lain menyebabkan saya sukar mendapatkan pekerjaan.

Difahamkan, dalam tempoh kurang seminggu, Fatimah sudah dua kali ditangkap pihak berkuasa iaitu kali pertama pada Jumaat lalu selepas dia dilihat meminta sedekah di RTC Tunjong.

Fatimah dihantar ke Rumah Seri Kenangan di Taman Kemumin, Pengkalan Chepa disebabkan kes berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 2:47 PM