PASUKAN outreach vaksinasi dari Dalat bergerak ke kawasan pedalaman di Ulu Baoh untuk melaksanakan program vaksinasi, hari ini. FOTO ihsan PEJABAT ADUN DALAT
PASUKAN outreach vaksinasi dari Dalat bergerak ke kawasan pedalaman di Ulu Baoh untuk melaksanakan program vaksinasi, hari ini. FOTO ihsan PEJABAT ADUN DALAT
Mohd Roji Kawi


Kuching: Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Covid-19 ke kawasan pedalaman diyakini akan membantu Sarawak untuk mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang awal Ogos ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, menerusi program itu, petugas barisan hadapan perubatan pergi ke rumah panjang yang jauh di pedalaman.

Beliau berkata, pasukan terbabit melalui pelbagai kesukaran terutamanya masalah pengangkutan untuk melaksanakan tugas.

"Pasukan ini menaiki kenderaan darat untuk ke 15 rumah panjang di kawasan Ulu Baoh di hulu Sungai Oya dalam daerah Dalat dan dijangka mengambil masa dua hari untuk menyelesaikan vaksinasi di kawasan itu.

"Pada hari pertama seramai 200 penduduk dari tujuh rumah panjang akan menerima suntikan vaksin manakala hari kedua pula akan membabitkan seramai 287 orang dari lapan rumah panjang," katanya.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, berkata selepas program vaksinasi di Ulu Baoh, pasukan itu akan menaiki perahu pula untuk melaksanakan vaksinasi di beberapa kampung di tebing Sungai Oya antaranya membabitkan Kampung Narub, Kampung Klid dan Nanga Baoh.

Menurutnya, beliau yakin suntikan dos pertama di kawasan Dalat akan selesai dalam minggu pertama Julai ini dan pada minggu pertama Ogos pula akan selesai dos kedua.

"Namun ia bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang kita terima.

"Bagi daerah Dalat, seramai 12,412 orang layak menerima vaksin iaitu penduduk yang berusia 18 tahun ke atas dan jumlah yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin adalah seramai 11,468 iaitu 92.4 peratus daripada jumlah yang layak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 4:56 PM