FATIMAH (tengah) bersama Datuk Rosey Yunos (kiri) dan Salina Bujang meneliti hasil mesyuarat MPAKK di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya. FOTO Mohd Roji Kawi
FATIMAH (tengah) bersama Datuk Rosey Yunos (kiri) dan Salina Bujang meneliti hasil mesyuarat MPAKK di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Petra Jaya: Hampir 10,000 guru dan pembantu guru taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Sarawak diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan bagi membolehkan mereka turut diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, keputusan untuk menaik taraf status guru serta pembantu Tadika dan Taska itu dicapai pada mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak (MPAKK) Sarawak, hari ini.

Justeru katanya, pihaknya akan berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk memasukkan petugas Tadika dan Taska itu dalam senarai keutamaan penerima vaksin.

"Ketika ini, jumlah pendidik serta pengasuh Tadika dan Taska di Sarawak adalah seramai 5,957 orang manakala pembantu mereka pula seramai 3,945 orang.

"Mereka perlu diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan seperti juga guru sekolah kerana mereka juga berisiko apabila sentiasa rapat dengan kanak-kanak yang mereka didik dan asuh," katanya.

Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MPAKK di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunos dan Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak, Salina Bujang.

Fatimah berkata, sehingga 28 Februari lalu, sebanyak 2,968 Tadika dan Taska berdaftar di Sarawak dengan jumlah kanak-kanak yang dididik serta diasuh seramai 68,133 orang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 7:14 PM