FATIMAH Abdullah. Foto Arkib NSTP
FATIMAH Abdullah. Foto Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


PENGHANTARAN bekalan makanan kepada penduduk di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dilaksanakan menggunakan helikopter dengan penerbangan pertama dijadual bermula esok.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, berkata, tujuh kawasan DUN terbabit yang terletak di kawasan luar bandar ialah Telang Usang, Mulu, Batu Danau, Batang Ai, Murum, Meluan dan Balleh.

Beliau berkata, bekalan makanan yang akan dihantar menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Hornbill Skyway itu akan diagihkan kepada 3,118 ketua isi rumah (KIR).

“Penerbangan pertama dijadualkan dari Miri esok dengan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

“Bekalan makanan itu akan dihantar ke penempatan penduduk yang jauh di pedalaman di tujuh kawasan DUN itu dengan Telang Usan mencatatkan jumlah KIR paling ramai iaitu 1,131, Mulu (828), Batu Danau (156), Batang Ai (355), Murum (194), Meluan (204) dan Balleh (250),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fatimah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bantuan Bekalan Makanan Covid-19 yang kini sedang menjalani kuarantin di rumah, turut memaklumkan secara keseluruhannya sebanyak 444,329 KIR di semua 82 kawasan DUN Sarawak akan menerima bantuan bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

“Kita sudah mengarahkan semua Pusat Khidmat DUN serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk melaksanakan proses pengagihan bantuan itu dan sehingga kini penghantaran sudah dilaksanakan di 67 daerah.

“Ketika ini penghantaran sedang giat dijalankan dan dijangka semua proses itu selesai dalam tempoh empat ke lima hari lagi,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, proses penghantaran menggunakan helikopter akan diselaraskan sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi.

“Ia termasuk menentukan lokasi pendaratan, kemampuan beban setiap helikopter, proses pembasmian kuman terhadap bekalan yang dihantar, keadaan cuaca dan paling utama faktor keselamatan pesawat serta kru sepanjang operasi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 2:17 PM