GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sebanyak 37 kes membunuh diri direkodkan dalam tempoh Januari hingga Mei 2021 di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, gejala itu amat membimbangkan berikutan peningkatan direkodkan sejak tahun 2018.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2018, sebanyak 28 kes bunuh diri direkodkan manakala sebanyak 36 kes berlaku pada tahun 2019 sebelum ia meningkat kepada 46 kes pada tahun lalu.

"Sebanyak 89 peratus yang membunuh diri ini adalah golongan lelaki dengan 96 peratus daripadanya berumur 18 tahun ke atas," katanya pada sidang media penubuhan Perkhidmatan 'Community Chat' Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, di sini, tadi.

Fatimah berkata, dalam tempoh sama sebanyak 30 cubaan membunuh diri direkodkan di negeri ini dengan 23 daripadanya direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala tujuh kes direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

"Jumlah cubaan membunuh diri yang direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini jelas menunjukkan peningkatan membimbangkan kerana sepanjang tahun 2020 sebanyak 36 kes direkodkan," katanya.

Fatimah berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kesejahteraan komuniti dan menyumbang kepada pelbagai isu sosial dalam masyarakat khususnya masalah kesihatan mental, kemiskinan, keganasan rumah tangga dan gelandangan.

"Sejak kebelakangan ini, kesan Covid-19 terhadap isu kesihatan mental sering ditonjolkan melalui media perdana dan media sosial.

"Sesuai dengan definisi kesihatan mental, keupayaan individu dan keluarga untuk menyesuaikan diri semasa pandemik Covid-19 ini membawa kepada pelbagai masalah sosial yang serius seperti cubaan membunuh diri dan tragedi membunuh diri," katanya.

Justeru katanya, pihaknya kini memberi tumpuan kepada usaha untuk menangani masalah kesihatan mental yang jelas meningkat sejak pandemik Covid-19 melanda.

Beliau berkata, pelbagai program dilaksanakan sepanjang tempoh antara Mei 2020 dan Julai 2021 dengan 47 daripadanya dijalankan oleh pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sebanyak 13 program oleh Mental Health Association (MHA) dan 34 lagi oleh Unit Sumber Manusia Negeri, Jabatan Ketua Menteri diwujudkan bagi menangani isu dan masalah berkaitan kesihatan mental.

"Dalam tempoh yang sama, sebanyak 634 kes kaunseling dikendalikan oleh pelbagai agensi dan NGO di Sarawak semasa pandemik Covid-19 iaitu 176 sesi kaunseling oleh MHA, 344 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan 114 dikendalikan oleh SCS Covid-19 e- Counselling Services Hotline," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 4:37 PM