ANTARA suspek yang ditahan kerana terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian. FOTO MELVIN JONI
ANTARA suspek yang ditahan kerana terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Padawan: Enam lelaki tempatan ditahan dalam serbuan polis ke atas sebuah pusat panggilan perjudian dalam talian, di sini, hari ini.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 24 tahun itu merupakan pekerja di pusat berkenaan yang menggunakan sebuah kondominium di Kota Sentosa, Jalan Sungai Tapang, di sini, sebagai tempat operasi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, serbuan dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan pada jam 4.45 petang.

"Hasil serbuan mendapati seunit kondominium yang disewa dijadikan sebagai pusat panggilan sindiket terbabit yang dipercayai sudah beroperasi kira-kira tiga bulan.

"Mereka menjalankan kegiatan perjudian 918 Kiss, Kiss Kaya, Mega 888 dan Pussy 888 serta waktu beroperasi adalah 24 jam.

"Sindiket ini mengaut keuntungan kasar mencecah RM7,000 sehari dengan setiap pekerja diberikan gaji sebanyak RM1,500 sebulan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Aidil berkata, pasukan serbuan turut merampas barang yang digunakan dalam kegiatan perjudian terbabit antaranya komputer dan telefon pintar.

Katanya, kesemua suspek akan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:58 PM