PASUKAN polis memeriksa wang dan barang rampasan lain dalam serbuaan di sebuah rumah di Jenjarom. FOTO Ihsan Polis.
PASUKAN polis memeriksa wang dan barang rampasan lain dalam serbuaan di sebuah rumah di Jenjarom. FOTO Ihsan Polis.
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Kegiatan seorang lelaki tempatan menjadikan rumahya di Jenjarom di sini, sebagai pusat judi dalam talian sejak 2019 terbongkar susulan serbuan polis, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, serbuan sempena Op Dadi itu dibuat selepas risikan pasukannya selama dua minggu.

"Rumah teres dua tingkat itu dipercayai dijadikan pusat 'calling centre' dan 'customer service' bagi aktiviti perjudian dalam talian (JOL-Topup) yang menyasarkan pelanggan di Malaysia.

"Dalam operasi itu, polis turut menahan tiga suspek berumur antara 20 hingga 31 tahun iaitu seorang lelaki tempatan (pemilik rumah), isteri lelaki berkenaan dan pekerja perempuan.

"Kita merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit modem, satu unit router, 11 simcard baru ONEXOX, dua komputer riba, satu jadual waktu bekerja (roster), sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz, wang tunai berjumlah RM453,450 dan dua keping cek Public Bank bernilai RM200,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, siasatan mendapati, sindiket itu mengiklankan judi dalam talian kepada yang mana pelanggan perlu mendepositkan bayaran bagi mendapatkan nama pengguna dan kata laluan untuk memulakan permainan di laman sesawang.

"Selain itu, sindiket turut menawarkan kepada pelanggan aplikasi berunsur perjudian dan tambah nilai (top up) bagi tujuan sama bagi laman perjudian 918Kiss, XE88, Mega888, Joker & Lucky Palace dan lain-lain, dengan sindiket dikesan beroperasi sejak pertengahan 2019," katanya.

Menurutnya, kediaman itu juga dipercayai dijadikan pusat khidmat pelanggan dan keuntungan kegiatan haram itu dianggar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan, yang diperoleh menerusi transaksi dalam talian.

"Sindiket menggajikan pekerja tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan gaji sekitar RM2,700 hingga RM3,000 sebulan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a), (c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 8:58 AM