Antara pengendali judi dalam talian yang ditahan polis di Batu Kawa, Padawan hari ini. Foto Melvin Joni
Antara pengendali judi dalam talian yang ditahan polis di Batu Kawa, Padawan hari ini. Foto Melvin Joni
Melvin Joni

Padawan: Lima warga Indonesia ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Ensing, Batu Kawa di sini, hari ini selepas disyaki menjalankan pusat panggilan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, mereka itu yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 17 hingga 35 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan oleh Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada 3.15 petang, kesemua suspek sedang bekerja mengendalikan kegiatan perjudian dalam talian.

"Setiap mereka diberikan gaji antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan dan dibekalkan telefon bimbit serta komputer untuk berurusan dengan pelanggan yang terdiri daripada orang tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidil berkata, pasukan serbuan turut merampas tiga unit komputer dan telefon bimbit yang digunakan oleh kesemua suspek untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Menurutnya, sindiket dipercayai sudah beroperasi selama lebih kurang bulan dengan menganjurkan perjudian dalam talian menggunakan laman sesawang 918kiss, Kiss Kaya, Mega888, Pussy 888 dan XE 888.

"Waktu operasi mereka adalah 24 jam setiap hari mengikut syif selama 12 jam dan kesemua pekerja tinggal di tempat yang sama.

"Jumlah keuntungan kasar mencecah sehingga RM5,000 sehari atau RM150,000 sebulan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh sindiket adalah dengan beroperasi di dalam rumah.

"Tingkat bawah rumah berkenaan digunakan untuk aktiviti mencari pelanggan, manakala tingkat atas digunakan oleh kesemua pekerja untuk berehat.

"Pekerja tidak dibenarkan keluar rumah untuk mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa," katanya.

Aidil berkata, kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 9:42 PM