Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Seorang lelaki memberi alasan terdesak dan perlukan pekerjaan yang menyebabkan dia bekerja di pusat judi dalam talian yang beroperasi di kondominium dekat Taman Pinggiran Putra, di sini sejak beberapa bulan lalu.

Dia yang berusia 24 tahun mendakwa melihat tawaran kerja sebagai khidmat pelanggan di Facebook, hujung tahun lalu sebelum menghadiri 'temuduga' untuk pekerjaan berkenaan.

"Sebelum ini, saya bekerja sebagai ejen broker, namun dibuang kerja ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Sepanjang tempoh setahun lebih, saya terpaksa menganggur sebelum melihat iklan itu.

"Saya tiada pilihan selain bekerja di sini (pusat judi dalam talian) dengan gaji lebih RM2,000 sebulan, walaupun tahu perkara ini salah kerana saya memerlukan pendapatan," katanya ketika ditahan semalam.

Lelaki itu yang berasal dari Klang, antara enam individu yang ditahan dalam Operasi Dadu (Op Dadu) dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, dalam serbuan 10.15 malam itu, mereka ditahan termasuk seorang wanita berusia antara 21 hingga 36 tahun.

"Serbuan itu dilakukan selepas risikan mendapati kediaman terbabit dijadikan pusat operasi mempromosi dan menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan menyasar pelanggan tempatan sejak tiga bulan lalu.

"Kami merampas beberapa telefon bimbit, komputer riba serta set komputer, router dan modem yang disyaki digunakan untuk kegiatan berkenaan selain sembilan kad debit," katanya.

PEGAWAI dan anggota D7 IPK Selangor menyoal seorang daripada enam individu yang ditahan dalam Op Dadu, semalam. FOTO Azhar Ramli.
PEGAWAI dan anggota D7 IPK Selangor menyoal seorang daripada enam individu yang ditahan dalam Op Dadu, semalam. FOTO Azhar Ramli.

Zuhairee berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan laman web 99yeswin.com, stardream33.com, 188kinggroup.com dan 168kinggroup.com.

"Ia bagi menganjur, mengurus dan mempromosikan aktiviti permainan judi dalam talian seperti 918kiss, mega888, pussy888, joker, Scr888, 918kiss(ori), LPE (Lucky Place), Suncity, XE88, Evo888, 918kiss kaya, V-power88 dan HS live.

"Hasil soal siasat awal, semua suspek bekerja sebagai operator perjudian yang dibayar gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, malah semua pekerja (suspek) perlu tinggal di kediaman itu dan tidak dibenarkan keluar, dengan makanan dibekalkan kepada mereka pada setiap masa," katanya.

Beliau berkata, urusan perjudian dijalankan menerusi transaksi secara dalam talian berdasarkan terdapat beberapa akaun bank digunakan disyaki akaun keldai, bagi memasukkan dan memindahkan wang kepada pelanggan tempatan.

"Selain itu, sindiket berkenaan juga menggunakan aplikasi WeChat ID untuk mempromosi judi dalam talian terbabit," katanya.

Katanya, semua tahanan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a),(c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 11:11 AM