KUMPULAN sindiket perjudian dalam talian yang ditahan. FOTO Melvin Joni
KUMPULAN sindiket perjudian dalam talian yang ditahan. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Padawan: Empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan selepas dipercayai terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian serta penyeludupan rokok, semalam.

Kesemua suspek berusia 24 hingga 55 tahun itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Penrissen, di sini, yang dijadikan sebagai pusat panggilan selain menyimpan rokok seludup.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kira-kira 11.10 pagi.

"Pihak polis menemukan 10 kotak rokok pelbagai jenis dipercayai rokok seludup di bilik belakang di tingkat bawah rumah terbabit.

"Sindiket itu juga dipercayai beroperasi lebih kurang seminggu untuk aktiviti perjudian dalam talian yang beroperasi 24 jam dan mengaut keuntungan kasar mencecah RM5,000 sehari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sindiket itu menggunakan modus operandi mencari pelanggan melalui telefon.

"Setiap wang pertaruhan akan dikreditkan oleh pelanggan ke beberapa akaun bank sindiket dan seterusnya slip bank akan dihantar melalui SMS dan aplikasi WhatsApp.

"Pekerja sindiket kemudian akan memberi kata laluan kepada pelanggan untuk memulakan permainan judi dalam talian," katanya.

Katanya, semua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 5:38 PM