IBU mangsa, Nuratiqah Abdulah sugul disisi mayat anaknya, yang maut selepas di langgar sebuah lori dalam kejadian di Taman Rekamas 2 di Simpang Renggam. FOTO IHSAN PEMBACA.
IBU mangsa, Nuratiqah Abdulah sugul disisi mayat anaknya, yang maut selepas di langgar sebuah lori dalam kejadian di Taman Rekamas 2 di Simpang Renggam. FOTO IHSAN PEMBACA.
Adnan Ibrahim


Kluang: Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut dilanggar sebuah lori ketika bermain basikal di hadapan rumahnya di Taman Rekamas 2 di Simpang Renggam dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian pada 4 petang itu, Abang Muhammad Haizad Abang Thimbone bermain bersama tiga rakan sebaya.

Bapanya, Abang Thimbone Abg Kiffli, 35, berkata, mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik dan kejadian berlaku ketika anaknya sedang membetulkan rantai basikal di tepi jalan.

Menurutnya, mungkin ketika itu mangsa tidak menyedari kehadiran lori berkenaan.

"Walaupun reda dengan kejadian yang berlaku, namun tetap terkilan kerana kejadian berlaku di hadapan rumah.

"Sepatutnya juga semua pemandu kenderaan perlu berhati-hati ketika melalui kawasan perumahan seperti ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pemandu lori berkenaan memberhentikan kenderaannya kira-kira 15 meter daripada kanak-kanak terbabit terbaring selepas dilanggar.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu lori kemudiannya ditahan untuk siasatan bagi mengenal pasti kejadian dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan," katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diharap tampil untuk menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 5:18 PM