GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika berbasikal di taman perumahan di Kampung Padang Jaya 2 di sini, petang semalam.

Muhammad Azzim Imni Mohd Faizal yang juga murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan Kampung Padang, di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata berdasarkan laporan, kemalangan itu berlaku membabitkan MPV Toyota Innova dan basikal pada jam 6.45 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu wanita berusia 33 tahun sedang melalui Lorong Kampung Padang Jaya 14 menuju ke Jalan Kampung Padang Jaya 8 untuk ke Sungai Lembing.

"Apabila sampai di tempat kejadian, ketika MPV sedang bergerak lurus, secara tiba-tiba mangsa yang menunggang basikal melintas dari lorong kiri ke kanan jalan untuk pulang ke rumahnya Lorong Kampung Padang Jaya 15.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu MPV tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa. Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 8:46 AM