PENUMPANG lori yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 55 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Renggam, Kluang, awal pagi semalam.
PENUMPANG lori yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 55 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Renggam, Kluang, awal pagi semalam.

Kluang: Kelindan berusia 46 tahun maut manakala pemandu dan seorang lagi penumpang parah apabila lori tanpa muatan dinaiki mereka dilanggar bas ekspres dari belakang sebelum terbabas merempuh lori simen di Kilometer 55, Lebuhraya PLUS, arah utara berhampiran Renggam, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.35 pagi itu, mangsa dikenali K Mohana Seelan, 46, maut di tempat kejadian dipercayai mengalami pendarahan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama dua lagi lelaki berusia 34 dan 46 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, lori tanpa muatan yang dinaiki ketiga-tiga mereka dihentam dari belakang oleh bas ekspres menyebabkan lori terbabit hilang kawalan lalu merempuh lori simen di hadapannya.

“Akibat daripada kemalangan itu, seorang daripada mereka maut di tempat kejadian akibat parah di kepala. Pemandu dan seorang lagi penumpang cedera di kepala, namun dilaporkan stabil.

“Pemandu bas ekspres dan pemandu lori simen bagaimanapun tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini, untuk bedah siasat.

“Polis menunggu laporan penuh kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:16 AM