Yaacob Saad, 61, menunjukkan tayar lori tempat cucu saudaranya, Nurul Batrisya Nazrul Hadi, setahun sembilan bulan, ditemui terbaring selepas dilanggar lori dipandu bapa saudara mangsa. - Foto Ihsan Keluarga
Yaacob Saad, 61, menunjukkan tayar lori tempat cucu saudaranya, Nurul Batrisya Nazrul Hadi, setahun sembilan bulan, ditemui terbaring selepas dilanggar lori dipandu bapa saudara mangsa. - Foto Ihsan Keluarga
Hafizudin Mohd Safar


Kangar: Kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan maut dilanggar lori dipandu bapa saudaranya yang sedang mengalihkan kenderaan itu di kawasan halaman sebuah rumah di Kampung Padang Gelam, Sanglang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, pemandu lori itu dikatakan tidak menyedari mangsa, Nurul Batrisya Nasrul Hadi, dipercayai berlari keluar dari rumah untuk melihat jentera menuai padi berada sebelum mangsa dilanggar.

Ibunya, Shakirah Bakar, 33, berkata dia tidak menyedari kejadian itu sehinggalah abangnya masuk ke dalam rumah memberitahu anaknya dijumpai terbaring berhampiran tayar belakang sebelah kanan lori.

Menurutnya, mereka terus membawa Nurul Batrisya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, namun kanak-kanak itu gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 7:06 PM