Hiasan SPRM
Hiasan SPRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Dua anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu, ditahan selepas dipercayai membawa sejumlah wang disyaki untuk 'membeli' undi bagi mengundi sebuah parti politik tempatan.

Anggota terbabit ditahan di sekitar Lahad Datu, semalam.

Sumber berkata, suspek dikatakan menjadi 'orang tengah' untuk memberikan wang berkenaan kepada pengundi yang mengundi awal hari ini.

"Suspek ditahan pasukannya selepas menerima maklumat risikan berhubung tindakannya yang menjadi wakil kepada parti politik itu.

"Wang itu dipercayai akan diberikan kepada anggota agar mengundi parti berkenaan hari ini," katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan, suspek sudah dibawa ke pejabat SPRM Lahad Datu, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggota terbabit.

Beliau berkata, siasatan lanjut kini diambil alih SPRM.

"Saya sahkan penahanan anggota terbabit dan polis sudah serahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 12:47 PM