Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ceramah pada progrem kempen Radu Kukusan Tanjung Batu. FOTO NSTP
Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ceramah pada progrem kempen Radu Kukusan Tanjung Batu. FOTO NSTP
Oleh Rafiqah Dahali


Papar: Komitmen dan kesungguhan anggota lain serta jabatan yang terbabit dalam soal keselamatan tidak wajar dipersenda.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata aspek keselamatan dan pertahanan termasuk di Sabah, bukan sesuatu yang boleh dikompromi.

"Ada pihak mendakwa tuntutan memasukkan Sabah ke dalam peta negara lain boleh dirunding.

"Mana boleh buat rundingan untuk jadi sebahagian daripada negara lain. Kita tutup segala pintu rundingan untuk ambil alih Sabah.

"Ketika saya menjadi Menteri Pertahanan, berlaku pencerobohan di Tanduo, Simunul dan Lahad Datu yang mana 10 pegawai dan anggota polis terkorban dibunuh musuh.

"Saya memohon kebenaran Perdana Menteri untuk menerbangkan pesawat penyerang dan ditempatkan di Labuan supaya operasi dapat dilakukan ke atas penceroboh di Sabah, khususnya di FELDA Sahabat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ramah Mesra Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kelanahan di Kampung Andus, sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pasukan keselamatan menjaga negara dengan penuh tanggungjawab, namun ia wajar menjadi komitmen bersama kerajaan Persekutuan dan negeri.

Katanya, pembentukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) adalah antara langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu pencerobohan di Pantai Timur Sabah.

"Apakah ESSCOM yang mempunyai ibu pejabat di Lahad Datu tidak dianggap sebagai usaha kerajaan Persekutuan menjaga Sabah terutama di Pantai Timur," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 10:17 PM