HAZANI. FOTO arkib NSTP
HAZANI. FOTO arkib NSTP
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis menerima 35 laporan sehingga hari ini berkaitan penghinaan seorang ahli politik terhadap anggota keselamatan yang bertugas ketika Ops Daulat di Lahad Datu pada 2013.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 28 laporan dibuat di negeri ini manakala tujuh lagi dari Semenanjung mengenai ceramah Datuk Mohamaddin Ketapi di gelanggang futsal Kampung Wawasan, Lahad Datu, jam 3 petang, Ahad lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 500, Seksyen 505 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan mengambil alih sepenuhnya siasatan," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pengundian awal di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hazani berkata, siasatan akan dilakukan secara profesional dan selepas selesai, kertas siasatan akan dihantar ke Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

"Bila-bila masa saja kita akan panggil calon itu untuk memberi keterangan. Tapi seboleh-bolehnya saya cuba selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya tidak mengganggu proses kempen," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai proses pengundian awal, beliau berkata, hari ini seramai 11,423 warga polis yang terdiri daripada pegawai, anggota dan kakitangan awam serta keluarga mengundi di pusat ditetapkan di seluruh daerah di Sabah.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 10:50 AM