PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan di Sekolah Kebangsaan Pekan Tamparuli sempena PRN Sabah. FOTO Aswadi Alias
PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan di Sekolah Kebangsaan Pekan Tamparuli sempena PRN Sabah. FOTO Aswadi Alias
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kakitangan awam yang mengundi di Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak, kawasan yang diisytihar zon merah akibat pandemik Covid-19, diarahkan agar menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas mengundi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai berkata, semua Ketua Organisasi hendaklah mengeluarkan arahan itu kepada kakitangan di bawah jagaan masing-masing.

"Dalam masa sama, Ketua Organisasi hendaklah juga mengeluarkan surat arahan bekerja dari rumah kepada kakitangan berkenaan mulai 27 September ini," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Datu Rosmadi berkata, semua penjawat awam perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada setiap masa.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi SOP dan peraturan serta arahan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan tatatertib menurut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung menyaksikan seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi membabitkan 2,540 saluran mengundi di 741 pusat mengundi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 12:04 AM