PEMASANGAN bahan kempen di beberapa kawasan tumpuan termasuk di Simpang Empat Takada dan Jalan Apas masih kurang meriah. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
PEMASANGAN bahan kempen di beberapa kawasan tumpuan termasuk di Simpang Empat Takada dan Jalan Apas masih kurang meriah. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawau dan Kalabakan yang bermula sejak Sabtu lalu, belum menyengat.

Tinjauan mendapati tidak banyak bahan kempen seperti kain rentang, gegantung, poster dan bendera parti dipasang, berbeza dengan situasi ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

Bahan kempen calon bertanding menggunakan papan iklan gergasi (billboard) di beberapa lokasi pilihan dan rebutan juga masih kosong.

Bagaimanapun, beberapa parti tempatan dilihat antara yang sudah memasang poster dan bendera masing-masing di beberapa lokasi strategik termasuk di pusat bandar namun dalam jumlah yang terhad.

Bagi calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Apas, yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, ketika ini pihaknya menggunakan pendekatan bertemu pengundi di lapangan selain kempen melalui media sosial.

"Apa yang lebih penting dalam keadaan wabak Covid-19 di Tawau kita tidak lagi membuat perjumpaan secara besar-besaran dan kita berkempen secara bersemuka dari rumah ke rumah dalam kumpulan kecil.

"Sebenarnya kita ada strategi sendiri bagi memastikan momentum kempen berterusan sehingga ke kemuncaknya menjelang hari pengundian," katanya ketika ditemui pemberita semasa mengedarkan bahan kempen di Pasar Sri Tanjung di sini, hari ini.

Jelas Nizam juga, aktiviti kempen akan terus diperhebat secara berperingkat selain memastikan SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak polis.

Selain Nizam, DUN Apas menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Datuk Amrullah Kamal (Warisan); Mohd Sayadi Bakal, Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO); dan Datu Indal, Parti Cinta Sabah (PCS).

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 2:51 PM