SHAFIE ketika ditemui pada program perhimpunan bersama calon-calon Parti Warisan di Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
SHAFIE ketika ditemui pada program perhimpunan bersama calon-calon Parti Warisan di Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa tidak memberi sebarang kelonggaran kepada mana-mana parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sesebuah parti hanya dibenarkan bertanding dan menggunakan lambangnya jika berdaftar di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurutnya, mana-mana badan organisasi yang tidak berdaftar tidak boleh dibenar bertanding.

"Jika ini berlaku, dikhuatiri pihak berkaitan (parti politik tidak berdaftar) pada masa akan datang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan menggunakan kaedah yang sama.

"Jangan beri kelonggaran kerana jika dilonggarkan ia akan dilihat bahawa sistem perundangan "enforcement of law" tidak dilaksanakan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan media oleh Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Syed Badlishah Syed Osman yang mendakwa Parti Perikatan Nasional (PN) tiada rekod daftar parti di bawah ROS.

Kenyataan itu turut menggesa ROS memberikan pencerahan apakah status pendaftaran parti PN selain mendesak semua calon-calon yang masuk bertanding pada PRN Sabah di bawah bendera PN harus dibatalkan jika benar parti berkenaan belum didaftarkan.

Dalam pada itu, Shafie turut mengesahkan salah seorang calon WARISAN, Alias Sani yang bertanding di DUN Sekong bukanh seorang pengganas Jemaah Islamiah (JI) seperti yang didakwa pihak tertentu.

Media sebelum ini melaporkan, Alias ​​Sani, mengakui pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan JI, namun beliau tidak pernah menyokong keganasan.

"Memang pun betul, saya sudah semak, kita sudah siasat dan dia tiada kes," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:47 PM