TAKIYUDDIN Hassan
TAKIYUDDIN Hassan
BERNAMA

Tawau: PAS berhasrat bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hujung bulan ini, kata Ketua Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau bagaimanapun berkata, perincian kawasan DUN yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Sekitar 10 kerusi kita angkat (kemuka) untuk bertanding, termasuk calon Muslimat PAS dan PAS biasanya bertanding di kerusi tradisi misalnya di Tawau dan Kalabakan," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam perdana anjuran Badan Perhubungan PAS Sabah di sini, malam tadi.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan Perikatan Nasional (PN), masih lagi dibincangkan dalam semangat muafakat parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

PN menggabungkan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), PAS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

"Kita tidak mahu berlakunya pertandingan tiga penjuru atau lebih yang terbukti merugikan kita sebelum ini. Jadi kita bertanding bersama-sama dalam kerjasama yang erat antara PN dan rakan sekutu di Sabah," katanya.

Menurutnya, semua parti mengemukakan senarai kerusi yang diharap dapat ditandingi dan proses rundingan jawatankuasa di peringkat parti di Sabah serta Persekutuan masih berlangsung.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan dalam PRN kali ini, berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, setelah Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah dan 12 September sebagai hari penamaan calon, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 9:12 AM