RINA Mohd Harun. FOTO Arkib NSTP
RINA Mohd Harun. FOTO Arkib NSTP
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah menyerahkan senarai 10 nama untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September depan.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, senarai akhir daripada Srikandi itu sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk penilaian.

Bagaimanapun jelasnya, jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh Srikandi itu hanya akan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita berharap sebagai sebuah parti yang begitu prihatin bukan sahaja kepada rakyat malah kaum wanita juga, Insya-Allah saya yakin akan ada calon daripada wanita.

"Walaupun masa semakin suntuk, tetapi Srikandi Sabah yang dipimpin Datuk Azizah Mohd Dun mampu membawa kemenangan calon daripada Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN)," katanya kepada media pada Program Sentuhan Kasih Srikandi Bersatu Bahagian Tawau di Wisma Keluarga Titingan, di sini, malam tadi.

Pada program itu, beliau turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan DUN Apas.

Srikandi BERSATU sebelum ini menyasarkan lebih 30 peratus calon wanita dari parti berkenaan untuk bertanding pada PRN Sabah akan datang.

Dalam pada itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mengalu-alukan usul oleh Perdana Menteri untuk menaikkan bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) kepada RM1000.00.

"Cadangan ini menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri untuk meningkatkan jumlah bantuan bersesuaian kepada penerima bantuan JKM yang layak," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 9:25 AM