LELAKI berusia 48 tahun ditahan bersama 525 karton arak seludup dalam dua serbuan di sekitar Johor Bahru. FOTO IHSAN PPM
LELAKI berusia 48 tahun ditahan bersama 525 karton arak seludup dalam dua serbuan di sekitar Johor Bahru. FOTO IHSAN PPM
Omar Ahmad


JOHOR BAHRU: Penahanan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di Stulang laut di sini, petang semalam, membawa kepada rampasan 525 karton minuman keras seludup pelbagai jenama serta sebuah kereta Hyundai berjumlah lebih RM441,000.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, hasil risikan mendapati, sindiket minuman keras seludup ini membawa minuman keras terbabit untuk disimpan di premis tertentu sebelum diedar.

"Hasil soal-siasat membawa kepada rampasan minuman keras terbabit selain taktik digunakan sindiket untuk mengangkut serta mengedarnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan terus menjalankan operasi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis pesisir pantai bagi membanteras kegiatan terbabit.

"Selain sindiket, kami juga akan menggempur premis dijadikan stor minuman keras seludup ini.

"Maklumat berkaitan kes seperti ini boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-2372221," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 4:00 PM