Minuman keras dan rokok pelbagai jenis yang dirampas. FOTO ERIKA GEORGE
Minuman keras dan rokok pelbagai jenis yang dirampas. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Bintulu: Pasukan Polis Marin Bintulu merampas minuman keras dan rokok bernilai RM83,484 pada serbuan di stor di Batu 5, Jalan Bintulu-Miri, Rabu lalu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, terdahulu, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 42 tahun dan soal-siasat membawa kepada serbuan terhadap stor terbabit.

"Pemeriksaan terhadap stor terletak di deretan rumah sewa menemui rokok bernilai RM78,204.72 dan minuman keras bernilai RM5,280.

"Penjaga stor gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan barangan terbabit," ujarnya.

Menurut beliau, barangan rampasan dibawa ke markas operasi Pasukan Polis Marin Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 3:49 PM