SEORANG lelaki tempatan ditahan ketika leka memunggah dipercayai rokok seludup dalam serbuan menerusi Op Kontraban di Jalan Seni Lorong 1, Senai, semalam. FOTO ihsan PPM
SEORANG lelaki tempatan ditahan ketika leka memunggah dipercayai rokok seludup dalam serbuan menerusi Op Kontraban di Jalan Seni Lorong 1, Senai, semalam. FOTO ihsan PPM
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Lelaki yang leka memunggah barangan dipercayai rokok seludup ditahan dalam serbuan Op Kontraban di Senai, di sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan pada 8 malam bersama 250 karton rokok seludup bernilai lebih RM37,500.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya sebelum itu melakukan pemantauan selama 48 jam di lokasi berkenaan.

"Kelihatan seorang lelaki sedang memunggah sejumlah kotak berwarna coklat di belakang kenderaan miliknya dan hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah kotak rokok disyaki tidak bercukai kastam.

"Turut dirampas, sebuah pacuan empat roda Ford Ranger dengan anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM107,500," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua barang rampasandibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Katanya, pihaknya akan memperketatkan kawalan terutama di perairan negara bagi mengelak dibolosi sindiket penyeludupan yang sentiasa mengubah taktik.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kegiatan yang menyalahi undang-undang di persisiran pantai kepada PPM Wilayah Dua di talian 07-2372221.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 2:37 PM