DUA lelaki ditahan bersama tiga kereta serta arak tidak bercukai di Gelang Patah, hari ini. FOTO ihsan PPM
DUA lelaki ditahan bersama tiga kereta serta arak tidak bercukai di Gelang Patah, hari ini. FOTO ihsan PPM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan dua lelaki tempatan dan merampas 156 karton arak dipercayai tidak bercukai di Forest City, Tanjung Kupang, Gelang Patah, hari ini.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, anggota PPM yang sedang membuat pemantauan di kawasan itu mengesan tiga kereta dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan Block G, Regalia Park, Forest City, pada 6.30 pagi.

"Pasukan serbuan PPM memeriksa tiga kereta itu dan menahan dua lelaki dewasa tempatan disyaki pemandu manakala seorang lagi dapat melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas tiga kenderaan itu menemukan pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai di bahagian tempat duduk belakang dan bahagian but kenderaan.

"Nilai 156 karton minuman keras pelbagai jenama itu adalah RM121,582.20 manakala nilai rampasan ketiga-ketiga kereta itu adalah RM260,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua tahanan dan barang rampasan dibawa ke Markas PPM W2 Johor untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut manakala seorang lagi suspek yang melarikan diri sedang giat dikesan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, penyeludupan minuman keras dan rokok sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai besar.

"Masyarakat diminta segera menghubungi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu penyeludupan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di talian 07-2372221," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:55 AM