ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Suraya Roslan

JEMAAH tabligh dari Malaysia yang pulang dari India hari ini akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua 40 rakyat Malaysia itu pulang ke tanah air menerusi penerbangan komersial, Air India Express.

"Mereka adalah jemaah tabligh yang tidak berjaya pulang ke Malaysia pada 17 Julai lalu.

"Mengambil kira faktor risiko jangkitan, kesemua mereka akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di ILKAP.

"Pusat pemantauan ini akan diselia petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Lawatan pihak luar termasuk ahli keluarga adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh kuarantin wajib ini," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata, KKM sudah membuat saringan terhadap 22,869 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 10 Jun sehingga semalam.

"Daripada jumlah ini, 22,791 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"Seramai 78 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan dan PDRM juga membuat 1,453 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah," katanya.

Menurut beliau, seramai 389 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari Indonesia, Vietnam, Qatar, China, Turki, India, Filipina, Nepal dan Jepun semalam.

"Kesemua individu ini diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka," katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu menjalani prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan bermula 24 Julai dan bukan lagi di rumah.

Mereka yang terbabit perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam (ILA) atau hotel berdasarkan kos yang dipersetujui sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:06 PM