TAMBAK Johor menuju ke Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
TAMBAK Johor menuju ke Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Suraya Roslan


RAKYAT Malaysia yang berada di Singapura dan berhasrat untuk pulang ke negara ini tidak perlu lagi memohon permit MyPass daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju membuka Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Perlis dan Durian Burung, Kedah bagi kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja.

"Agensi yang terbabit telah dimaklumkan mengenai keputusan ini untuk tindakan seterusnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, seramai 161 individu memasuki sempadan negara di Johor dan kesemua mereka diperintahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah masing-masing.

"Polis Diraja Malaysia membuat 1,006 pemantauan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dan mendapati semua mereka mematuhi SOP ditetapkan.

"Seramai 456 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari Indonesia, Singapura, Mesir, Qatar dan Belanda serta diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman mereka," katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan membuat saringan ke atas 7,383 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

"Daripada jumlah ini, 7,347 individu didapati negatif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"Bakinya didapati 36 individu lagi didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 2:29 PM