Rafidah Mat Ruzki


PESAWAT yang membawa balik rakyat Malaysia terkandas di India, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 6.31 pagi ini.

Kesemua 96 orang termasuk seramai 62 jemaah tabligh dibawa pulang menggunakan pesawat sewa khas Malindo Air dan ia diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Seramai 34 individu lagi terdiri daripada kakitangan kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang di India ditutup.

Selain itu, pesawat itu turut membawa 11 kru Malindo Air.

Sebaik tiba, mereka terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) untuk kuarantin wajib selama 14 hari, bermula hari ini.

Kumpulan pertama rakyat Malaysia yang tiba pagi tadi mulai dibawa keluar 7.40 pagi sebelum menaiki lapan bas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Difahamkan, setiap bas membawa 15 rakyat Malaysia ke pusat kuarantin yang ditetapkan itu.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman ketika ditemui berkata, kesemua mereka yang dibawa pulang sudah menjalani saringan kesihatan di India dan didapati tidak mempunyai gejala.

Katanya, mereka sekali lagi disaring sejurus tiba.

"Ini bukan misi pertama.. ini misi kelima, yang pertama apabila kita membawa rakyat Malaysia pertama dari Wuhan, China. Penerbangan kedua juga dari China, Itali, Indonesia dan Iran.

"Pengalaman misi membawa pulang rakyat kita dari China memudahkan proses ini dengan teratur.

"Ini adalah misi pertama membawa rakyat kita dari India kerana sebelum ini masih ada penerbangan keluar dari India selain kumpulan yang dibawa pulang dengan penerbangan khas tanpa aturan khas seperti ini," katanya.

Mohtar berkata, berdasarkan perbualannya dengan jemaah tabligh yang pulang pagi tadi, beliau dimaklumkan ada antaranya yang ke India sejak Februari dan menjalankan aktiviti keagamaan.

Bagaimanapun katanya, mereka terkandas apabila kerajaan India menutup pintu sempadan.

Pada masa sama, Mohtar berkata, masih ada lagi rakyat Malaysia yang terkandas di India kerana berdepan isu Imigresen.

Beliau berkata, repatriasi seterusnya hanya akan dijalankan jika ada permohonan daripada rakyat Malaysia yang terbabit dan usaha itu akan diatur oleh Pejabat Perwakilan di India.

 Seramai 107 orang penumpang yang terdiri daripada 62 orang jemaah tabligh, 34 orang gabungan kakitangan kedutaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang India ditutup manakala baki 11 orang merupakan krew Malindo Air selamat tiba di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Seramai 107 orang penumpang yang terdiri daripada 62 orang jemaah tabligh, 34 orang gabungan kakitangan kedutaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang India ditutup manakala baki 11 orang merupakan krew Malindo Air selamat tiba di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 10:49 AM