GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rafidah Mat Ruzki

PUTRAJAYA: Seramai 40 jemaah tabligh Malaysia yang tidak berjaya pulang melalui penebangan misi kemanusiaan pada 17 Julai lalu, dijangka tiba di tanah air, hari ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua mereka akan tiba dengan menaiki penerbangan komersial Air India Express.

"Mengambil kira faktor risiko jangkitan, semua mereka akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi.

"Pusat Pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Oleh itu, lawatan pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan sepanjang tempoh kuarantin wajib ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan 62 jemaah tabligh dibawa pulang dalam misi kemanusiaan menggunakan penerbangan sewaan khas Malindo Air yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Mereka adalah antara 96 rakyat Malaysia, termasuk kakitangan kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang di India ditutup, manakala baki 11 orang adalah kru Malindo Air.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 389 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Indonesia, Vietnam, Qatar, China, Turki, India, Filipina, Nepal dan Jepun, semalam.

Beliau berkata, semua 389 individu terbabit diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 4:57 PM