Antara barangan yang dirampas anggota PGA7 dalam kejadian di Pengkalan Haram Syed Agil, di sini, jam 12.50 pagi tadi. FOTO IHSAN PGA7
Antara barangan yang dirampas anggota PGA7 dalam kejadian di Pengkalan Haram Syed Agil, di sini, jam 12.50 pagi tadi. FOTO IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa


BERTINDAK pada waktu tengah malam bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya mengempur kegiatan sekumpulan lelaki yang cuba menyeludup barangan antaranya pinggan dan loyang, tengah malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata anggotanya terserempak beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengangkut bungkusan ke tebing sungai di Pengkalan Haram Syed Agil pada 12.50 tengah malam tadi.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota, kesemua mereka bertindak melarikan diri ke negara jiran, Thailand dengan merentas Sungai Golok menggunakan perahu dan meninggalkan semua bungkusan barangan.

"Hasil pemeriksaan, bungkusan terbabit mengandungi pelbagai jenis barangan yang dipercayai untuk diseludup iaitu 120 sejadah, 100 selendang, 160 seluar wanita, 20 baju wanita, 60 unit pinggan serta 12 set loyang yang bernilai RM22,420.

"Kami percaya kesemua barangan ini diseludup dari negara jiran untuk tujuan pasaran tempatan. Mereka menggunakan Modus Operandi (MO) dengan membawa kesemua barangan berkenaan pada waktu tengah malam bagi mengelak bertembung dengan pihak berkuasa.

"Kesemua barangan ini diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk laporan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Azhari turut berkongsi kejayaan PGA7 merampas beras dan beras pulut bernilai RM4,428 di Pengkalan Haram Jitong, Pasir Mas, kelmarin.

"Alhamdulilah, setakat ini sudah banyak rampasan serta tangkapan membabitkan pelbagai barangan seperti dadah, beras, lembu dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilakukan anggota PGA7 bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sepanjang sempadan.

"Kerjasama daripada agensi penguatkuasaan lain turut terjalin erat agar setiap urusan berjalan lancar sekali gus, memastikan tiada ketirisan jenayah sempadan berlaku terutama di sungai Golok ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 2:54 PM