BERAS seludup yang dirampas. FOTO ihsan PGA
BERAS seludup yang dirampas. FOTO ihsan PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas lebih 6.4 tan beras pelbagai jenama dari Thailand bernilai lebih RM25,000 pada operasi khas di sekitar Pasar Besar Wakaf Bharu di sini, pagi semalam.

Operasi bermula jam 6.30 hingga jam 8 pagi itu mensasarkan 10 kedai runcit dan sembilan individu turut ditahan bagi membantu siasatan kes penjualan beras seludup.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan dijalankan empat pegawai dan 25 anggota itu dijalankan hasil risikan selama seminggu.

"Sembilan individu, termasuk lima wanita yang ditahan itu berusia 43 hingga 69 tahun.

"Peniaga ini terbabit menjual beras seludup dari Thailand secara runcit di kawasan sekitar pasar ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bekalan beras terbabit pula dihantar secara terus oleh orang upahan dari sempadan ke kedai mereka dengan menunggang motosikal atau menaiki kereta.

Orang upahan itu pula dibayar antara RM20 hingga RM30 bagi sekali penghantaran.

"Sebaik beras dapat diseludup menerusi pangkalan haram di Sungai Golok di sekitar Pengkalan Kubor, ia dihantar ke kedai dalam skala kecil bagi mengaburi mata kami.

"Kesemua beras itu diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994," katanya.

Azhari menasihati masyarakat supaya tidak terbabit dengan aktiviti penyeludupan beras yang mendatangkan kerugian kepada kerajaan.

"Operasi pembanterasan ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. Ia juga bagi membendung aktiviti penyeludupan beras di sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 1:27 PM