Ganja yang ditinggalkan lelaki terbabit dirampas. FOTO ihsan polis
Ganja yang ditinggalkan lelaki terbabit dirampas. FOTO ihsan polis
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Seorang lelaki nekad terjun ke Sungai Golok untuk ke Thailand dengan meninggalkan lima kilogram (kg) ganja bernilai RM12,500 dalam kejadian di pangkalan haram Pos Man, di sini, jam 8 malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika kejadian anggota membuat rondaan bermotosikal sebelum melihat seorang lelaki berada di bawah pondok bersama sebuah kotak dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, lelaki berkenaan terjun ke sungai sebelum anggota membuat pemeriksaan pada kotak dan menemukan ganja serta picagari dipercayai milik suspek.

"Kesemua dadah ini disyaki diseludup daripada negara jiran, Thailand. Kegiatan berkenaan dilakukan pada waktu malam di kawasan yang agak gelap bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Anggota kemudian membawa kesemua barangan rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azhari turut berkongsi kejayaan PGA7 menangkap seorang pengedar dadah yang dipercayai memiliki syabu, pil kuda dan daun ketum bernilai RM650 di Jalan Padang Majlis Tempatan, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 10:04 AM