Beras yang berjaya dirampas. FOTO Ihsan PGA7
Beras yang berjaya dirampas. FOTO Ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Tindakan seorang lelaki memandu laju dengan lampu bahagian belakang yang tidak menyala menimbulkan rasa curiga anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Kampung Padang Licin, semalam.

Ia terjawab apabila hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 1,300 kilogram (kg) beras bernilai RM5,200 yang memenuhi bahagian penumpang, tempat duduk belakang dan but kereta.

Dalam kejadian 10 malam itu, suspek berusia 32 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja dalam keadaan mencurigakan ditahan pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata, sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota, pihaknya membuat pemeriksaan dan menemui 52 kampit beras cap Mangga di bahagian depan dan belakang penumpang selain terdapat juga di bonet kereta.

"Suspek yang juga bekerja sebagai penternak ikan air tawar mengakui menyeludup beras dari pangkalan haram untuk di hantar kepada pembeli di sekitar Pasir Puteh, selain pernah melakukan aktiviti ini beberapa kali mengikut pesanan yang diterima.

"Dia menjalankan kegiatan menyeludup beras pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain menggunakan kenderaan dengan cermin gelap untuk mengisi penuh beras terbabit di dalam kenderaan.

"Anggota merampas kenderaan serta kesemua beras ini termasuk menahan suspek untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang, bagi siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Azhari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM25,000 dan barangan dirampas.

Katanya, PGA7 terus komited bertugas di Ops Benteng Covid-19 sempadan negara bukan sahaja bagi mengekang jenayah rentas sempadan malah menjaga keselamatan negara daripada penularan wabak penyakit.

"Memandangkan negara kembali dibelenggu dengan masalah peningkatan jumlah mangsa Covid-19, PGA7 bersedia memastikan tiada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mungkin membawa kepada wabak berkenaan.

"Kerjasama semua pihak turut diperlukan bagi membantu melancarkan kawalan sempadan negara terutama di sepanjang Sungai Golok, di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 9:38 AM