Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Sebanyak 3,990 botol cecair vape bernilai RM399,000 disyaki untuk diseludup masuk ke Thailand dirampas di pangkalan haram Syed Omar, di sini, semalam.

Bahan terlarang itu dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) ketika rondaan bersama beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Ops Bersepadu, pada 8 malam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata, ketika rondaan, pasukan menemui longgokan kotak berbungkus plastik hitam berhampiran kawasan semak, sebelum membuat pemerhatian termasuk menggunakan dron untuk mengenal pasti sebarang pergerakan terdekat namun tiada yang dikesan.

"Anggota kemudian memeriksa kesemua kotak berkenaan dan mendapati ia berisi cecair vape pelbagai jenama, disyaki untuk diseludup masuk ke Thailand melalui Sungai Golok mengikut jalan yang tidak diwartakan.

AZHARI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 3,990 botol cecair vape yang dirampas.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
AZHARI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 3,990 botol cecair vape yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Pihak kami mengesyaki sindiket penyeludupan ini menggunakan modus operandi dengan menyorok kesemua barangan ini di dalam semak berhampiran terlebih dahulu sebelum membawanya menggunakan perahu sebaik keadaan bebas daripada pihak berkuasa.

"Cecair vape mendapat permintaan tinggi di Thailand dan difahamkan, kerajaan mereka mengharamkan penggunaan bahan bernikotin ini, jadi, mereka memilih menyeludup masuk bahan itu secara haram untuk mendapatkan bekalan," katanya.

Azhari berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota ATM yang turut membantu pihak PGA7 dalam Ops bersepadu di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok, di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua barangan dirampas dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan seterusnya.

"Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:27 PM