ANGGOTA PGA7 memeriksa produk kosmetik dan ubat-ubatan yang ditinggalkan penyeludup. FOTO ihsan PGA7
ANGGOTA PGA7 memeriksa produk kosmetik dan ubat-ubatan yang ditinggalkan penyeludup. FOTO ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas pelbagai produk kosmetik dan ubat-ubatan bernilai RM28,731 di pangkalan haram Pak Su Rani, di sini, jam 12.10 tengah malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian itu, anggota membuat rondaan sebelum terserempak beberapa orang lelaki sedang memunggah barangan daripada perahu ke ke tebing sungai.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, semua lelaki itu melarikan diri menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok ke Thailand dan meninggalkan barangan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, terdapat kotak yang mengandungi barangan kosmetik dan ubat-ubatan dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan.

"Status barangan rampasan ini masih diragui memandangkan tidak mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus membahayakan pengguna.

"Anggota merampas kesemua kosmetik serta ubat-ubatan terbabit untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Azhari berkata, dalam kejadian berasingan, PGA7 turut merampas 298 kotak minyak masak dipercayai untuk diseludup ke Thailand bernilai RM20,294 di Kampung Padang Embun, Tendong, Pasir Mas, jam 3.30 petang semalam.

"Turut dirampas ialah sebuah van Toyota Hiace dan Proton Iswara yang digunakan untuk mengangkut bekalan minyak terbabit.

"Kesemua barangan rampasan dan kenderaan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 1:38 PM