ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang membuat serbuan pada premis perniagaan yang dimiliki oleh warga asing dalam satu operasi sekitar Hulu Langat. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang membuat serbuan pada premis perniagaan yang dimiliki oleh warga asing dalam satu operasi sekitar Hulu Langat. FOTO Aizuddin Saad
Nurul Hidayah Bahaudin


TUTUP pagar apabila nampak anggota penguat kuasa, sebelum melarikan diri. Itu tindakan dilakukan peniaga keturunan Aceh, Indonesia di sebuah kedai runcit di Kampung Melaka, Hulu Langat, dalam serbuan dilakukan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), hari ini.

Malah, peniaga terbabit enggan membuka pagar kedai runcit terbabit untuk pemeriksaan sebelum anggota penguat kuasa terpaksa membuka sendiri pagar berkenaan.

Pemeriksaan di dalam kedai runcit terbabit mendapati peniaga itu sudah melarikan diri dipercayai menggunakan pintu belakang premis.

Kedai runcit terbabit antara enam premis disita di lokasi terbabit dalam serbuan membabitkan 43 pegawai dan anggota penguat kuasa MPKj bermula 11.40 pagi.

ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang membuat serbuan pada premis perniagaan yang dimiliki oleh warga asing dalam satu operasi sekitar Hulu Langat. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang membuat serbuan pada premis perniagaan yang dimiliki oleh warga asing dalam satu operasi sekitar Hulu Langat. FOTO Aizuddin Saad

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKj, Shariman Md Nor berkata, pihaknya menyita enam premis membabitkan kedai runcit serta kedai gunting rambut tidak mempunyai lesen.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, ada warga asing yang diperiksa memberikan alasan premis berkenaan dimiliki warga tempatan serta memiliki lesen, namun semakan dilakukan mendapati sebaliknya.

"Semakan mendapati semua premis berkenaan disyaki dimonopoli warga asing seperti Aceh (Indonesia), Pakistan serta Bangladesh," katanya ketika ditemui di lokasi selepas mengetuai serbuan terbabit.

Shariman berkata, pihaknya mengenal pasti kira-kira 150 premis membabitkan kedai runcit, restoran serta kedai perabot di seluruh kawasan seliaan MPKj dipercayai dimonopoli warga asing.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 98 premis dipercayai dimonopoli warga asing sudah disita sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu hingga semalam.

"Bagi tindakan sitaan itu, kira-kira 200 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Kami memandang serius permasalahan itu dan melakukan operasi secara konsisten dalam usaha mengatasi isu terbabit.

"Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi bersepadu bagi mengekang masalah ini kerana tindakan terhadap warga asing bukan dalam bidang kuasa kami," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perniagaan warga asing di daerah berkenaan diminta menghubungi Hotline MPKj di talian 1800886755 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 3:22 PM