premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Semenyih diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini kerana gagal mengikuti peraturan ditetapkan, walaupun memiliki sijil halal. FOTO ihsan JAIS
premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Semenyih diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini kerana gagal mengikuti peraturan ditetapkan, walaupun memiliki sijil halal. FOTO ihsan JAIS
Siraj Mohd Zaini


SEBUAH premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Semenyih diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini kerana gagal mengikuti peraturan ditetapkan, walaupun memiliki logo halal pada bungkusan ayam yang sudah diproses.

Timbalan Pengarah(Pengurusan) JAIS, Azlinda Azman berkata, serbuan pada 7.30 hingga jam 11.30 pagi itu dilakukan berdasarkan maklumat awam yang diterima pihaknya.

Menurutnya, pemeriksaan turut disertai Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kesihatan Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

"Hasil pemeriksaan mendapati premis menggunakan khidmat warga asing untuk proses penyembelihan namun tidak mempunyai kad tauliah.

"Premis didapati mengaburi pembeli dengan pengakuan jaminan halal sedangkan cara pengurusan penyembelihan diragui dan dari segi kebersihan sangat memerlukan tindakan segera daripada Jabatan Kesihatan.

"Sejumlah 1,098 ekor ayam yang dibungkus dan plastik pembungkusan disita bagi tujuan siasatan oleh JAIS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan mengarahkan premis ditutup serta merta mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana faktor kebersihan serta kegagalan pemilik melaksanakan kawalan makhluk perosak.

Katanya, notis kompaun turut dikeluarkan MPKj di bawah Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MPKj 2007 kerana pekerja tidak mengambil suntikan typhod dan Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred dan Perindustrian MPKj 2007 atas faktor kebersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 7:56 PM