ANTARA kedai makan kendalian warga asing yang disita di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, semalam. FOTO ihsan MPKj.
ANTARA kedai makan kendalian warga asing yang disita di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, semalam. FOTO ihsan MPKj.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG penjaga premis warga Indonesia berketurunan Aceh gagal melarikan diri dalam Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, dan berjaya ditahan anggota penguat kuasa yang mengepung kawasan berkenaan, semalam.

Lelaki berkenaan antara 15 individu yang ditahan dalam operasi itu yang dilakukan 130 pegawai serta anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam MPKj Kamarul Izlan Sulaiman berkata, sebanyak 13 premis membabitkan kedai runcit, kedai makan dan kedai gunting rambut diperiksa dalam operasi itu.

"Ketika serbuan dilakukan, ada seorang penjaga premis cuba melarikan diri kerana mahu mengelak ditahan pihak JIM. Namun, dia berjaya ditahan anggota penguat kuasa yang sudah mengepung kawasan terbabit.

"Hasil pemeriksaan dilakukan kami mendapati operasi di kesemua premis berkenaan dilakukan oleh warga asing dari Indonesia (Aceh), India dan Bangladesh," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kamarul Izlan berkata, pihaknya menyita 13 premis terbabit kerana menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

"Selain itu, kami juga mengeluarkan dua kompaun dan notis amaran terhadap pemilik kedai warga tempatan dalam operasi ini.

"Pada masa sama, kami turut melakukan tindakan sitaan barangan terhadap dua daripada beberapa kedai runcit berkenaan," katanya.

Katanya, 15 warga asing yang ditahan dalam operasi itu diserahkan kepada pihak JIM untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 11:36 AM