DAGING babi dilumur dan diletak pada motosikal serta topi keledar anggota penguat kuasa MPKj di Cheras, hari ini. FOTO ihsan MPKj.
DAGING babi dilumur dan diletak pada motosikal serta topi keledar anggota penguat kuasa MPKj di Cheras, hari ini. FOTO ihsan MPKj.
Khairul Najib Asarulah Khan


BIADAP dan kurang ajar. Situasi itu digambarkan apabila segelintir individu dipercayai melumur dan meletakkan daging babi di atas motosikal anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di kawasan perumahan di Cheras, Kajang, hari ini.

Kejadian 10 pagi itu dipercayai dilakukan sebagai tanda protes kerana tidak puas hati terhadap penguat kuasa MPKj yang mengeluarkan saman parkir kepada mereka.

Menerusi video dan gambar tular di laman sosial mendapati, daging babi itu bukan saja diletakkan di bahagian tempat duduk motosikal, malah di dalam topi keledar.

Selain itu, terdapat satu video memaparkan anggota penguat kuasa sedang menyamak motosikal dengan air lumpur di bengkel cuci kenderaan.

MOTOSIKAL anggota penguat kuasa MPKj disamak dengan tanah dan air selepas dilumur daging babi di Cheras, hari ini. FOTO ihsan MPKj.
MOTOSIKAL anggota penguat kuasa MPKj disamak dengan tanah dan air selepas dilumur daging babi di Cheras, hari ini. FOTO ihsan MPKj.

Sumber MPKj berkata, kejadian itu sebagai tanda protes disebabkan tidak puas hati atas tindakan penguatkuasaan dilakukan anggota penguat kuasa MPKj di kawasan komersial dan perumahan berkenaan.

“Sebelum ini, kami sudah menangguhkan tindakan penguatkuasaan selama sebulan yang tamat pada bulan lalu.

“Namun apabila tindakan diambil terdapat segelintir bertindak sedemikian dan kejadian itu hanya disedari anggota penguat kuasa apabila mereka kembali semula ke motosikal selepas mengeluarkan saman.

“Laporan polis berhubung kejadian itu sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 8:02 PM